MEI 2022

Sarawak Bincang Dengan Norway, Bentuk Pengurusan Dana Kekayaan Berdaulat


NORWAY: Sarawak akan melibatkan diri secara serius dengan negara Norway dalam usaha untuk membentuk dan menguruskan Dana Kekayaan Berdaulat.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, ini memandangkan kejayaan Dana Kekayaan Berdaulat negara Norway yang diiktiraf secara meluas dengan standard tadbir urus tertinggi sejak penubuhannya pada 1996.

Justeru katanya, ia adalah standard yang diperlukan oleh Sarawak untuk dijadikan penanda aras.

“Kerajaan Sarawak telah menanda aras banyak dana serupa di seluruh dunia.

“Memandangkan Sarawak dan Norway mempunyai banyak persamaan, Sarawak amat berminat untuk belajar dari Norway.

“Norway juga mempunyai pengalaman sekitar 25 tahun dalam membangunkan Dana Kedaulatan global terbesar dan terkenal dengan amalan tadbir urus yang baik dengan dasar yang jelas dalam pengurusan dana,” katanya ketika bertemu dengan pegawai Pengurusan Pelaburan Bank Norges dan kementerian di Oslo, Norway pada Khamis.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari memberitahu, Dana Kekayaan Norway iaitu ‘The Government Pension Fund Global’ dibentuk untuk menguruskan wang minyak negara yang diuruskan oleh Pengurusan Pelaburan Bank Norges.

“Dana berkenaan menerima suntikan pertama wang minyak sebanyak 2 bilion Kroner daripada kerajaan Norway pada 1996

“Pada tahun 2021, ia melaporkan nilai keseluruhan AS$1.34 trilion (RM5.9 trilion) dengan semua pelaburan dalam ekuiti dan hartanah di luar negara,” ujarnya.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari berkata, Norway dan Sarawak berkongsi banyak sifat yang sama iaitu mempunyai wilayah yang besar dan berpenduduk jarang serta dilimpahi dengan sumber asli yang banyak, terutamanya minyak dan gas serta kuasa hidro.

“Sarawak adalah wilayah konstituen terbesar di Malaysia iaitu sekitar satu pertiga saiz Norway, dengan kira-kira separuh penduduk.

“Kita juga berkongsi hasrat yang sama untuk bergerak ke arah pembangunan mampan dan memelihara dunia untuk generasi akan datang,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Menteri Tenaga & Kelestarian Alam Sekitar, Dr Hazland Abang Hipni, Peguam Besar Negeri Sarawak, Dato Sri Talat Mahmood Abdul Rashid dan Setiausaha Kewangan Negeri, Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar. -EDISI UKAS

Sumber dari : UKAS